PUTRAJAYA: Jumlah kes positif COVID-19 meningkat secara mendadak hari ini, iaitu sebanyak 1,755 kes sekali gus menjadikan jumlah harian tertinggi pernah dicatatkan sejak penularan virus berkenaan.
Jumlah tertinggi yang pernah dicatatkan sebelum ini ialah pada 26 Oktober lalu iaitu 1,240 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pertambahan kes berkenaan menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini sebanyak 38,189 kes dengan jumlah kebolehjangkitan sebanyak 11,530 kes.
“Untuk makluman, Sabah mencatatkan sebanyak 1,199 kes (68.3 peratus) daripada keseluruhan kes positif pada hari ini, manakala 741 kes (42.2 peratus) pula ialah kes berkaitan kluster di dalam penjara dan Pusat Tahanan Sementara (PTS).
“Antaranya Kluster PTS Tawau (372), Kluster Penjara Sandakan (184), Kluster Seberang Perai (162), Kluster Tembok (10), Kluster Penjara Kepayan (lapan), Kluster Penjara Reman (tiga), dan Kluster Benteng LD (dua).
“Negeri bawah Lembah Klang pula mencatatkan sebanyak 191 kes atau 10.9 peratus dan Labuan mencatatkan 59 kes positif (3.4 peratus) hari ini.
“Secara keseluruhannya negeri berkenaan menyumbang sebanyak 1,449 kes atau 82.6 peratus daripada keseluruhan kes positif COVID-19 dan negeri itu masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, bagi kes import terdapat tiga kes dilaporkan masing-masing mendapat jangkitan dari Arab Saudi, Afrika Selatan dan Myanmar.
Negeri lain yang turut mencatatkan pertambahan kes ialah Pulau Pinang iaitu 192 kes diikuti, Negeri Sembilan (45); Perak (18); Sarawak (17); Putrajaya (sembilan); Terengganu (lapan); Johor (tiga) dan Melaka (dua).
Dalam pada itu, mengenai kes kematian Dr Noor Hisham berkata terdapat dua kematian dilaporkan membabitkan masing-masing di Sabah dan Kedah.
“Pertambahan kes itu menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di negara ini sebanyak 279 kes atau 0.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
“Kes kematian ke-278 membabitkan kes ke-35,982 iaitu wanita berusia 67 tahun dan mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi dan asma serta dilaporkan meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent di Sandakan,” katanya.
Bagi kes kematian ke-279, Dr Noor Hisham berkata ia membabitkan kes ke-35,303 iaitu lelaki berusia 54 tahun.
“Beliau mempunyai penyakit darah tinggi, buah pinggang kronik dan strok dan dilaporkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah,” katanya.
Sumber Berita Harian
